Ramai tidak menyedari cara penggunaan dan penyimpanan serbuk masakan boleh menjadi antara punca ia keras. -Gambar hiasan AI
SERBUK herba dan rempah seperti bawang putih, lada hitam, halia atau sebagainya merupakan antara bahan yang hampir wajib ada di dapur.Digunakan bagi tujuan perapan atau menaikkan rasa masakan, bahan-bahan ini biasanya dijual dalam botol kecil untuk memudahkan ia ditabur ketika memasak. Namun, ada satu masalah sering berlaku apabila serbuk herba ini yang pada awalnya halus dan mudah dituang, tiba-tiba menjadi berketul dan keras 'kejung' sehingga terpaksa diketuk atau dicungkil sebelum boleh digunakan.Rupa-rupanya, cara kita menggunakan dan menyimpan serbuk tersebut juga boleh menjadi antara punca teksturnya mula berubah.Seorang individu berkongsi petua mudah bagi mengelakkan serbuk herba dan rempah menjadi keras, khususnya ketika digunakan terus dari bekas semasa memasak.Menurutnya, elakkan daripada menuang serbuk terus ke dalam periuk ketika masakan masih panas atau sedang menggelegak."Jangan tuang secara terus ke dalam periuk masa tengah masak atau masakan panas. Lembapan stim akan masuk menerusi lubang-lubang bekas serbuk dan ia jadi rosak serta keras apabila kering."Sebelum tuang, tuang dalam senduk dulu, kemudian baru masukkan dalam periuk," katanya dalam satu perkongsian di Threads. ARTIKEL BERKAITAN: Rupanya bertahun-tahun kita ditipu petua lama! Mulai sekarang jangan basuh telur sebelum simpanPetua berkenaan mendapat perhatian pengguna media sosial lain yang turut berkongsi beberapa cara tersendiri untuk memastikan serbuk herba dan rempah kekal dalam keadaan baik.Antara cadangan yang dikongsikan termasuklah:- Menyimpan bekas serbuk di dalam peti sejuk bagi membantu mengurangkan pendedahan kepada haba dan kelembapan.- Meletakkan beberapa butir beras di dalam bekas serbuk. Beras dipercayai dapat membantu menyerap kelembapan yang terdapat di dalam bekas, sekali gus mengurangkan risiko serbuk menjadi lembap dan berketul.- Pastikan bekas serbuk sentiasa ditutup rapat selepas digunakan dan elakkan menyimpannya berhampiran kawasan yang panas atau mudah terdedah kepada wap seperti di sebelah dapur.